Rabu, 1 Mac 2017

Karangan Keselamatan di Sekolah Pada Waktu Kebakaran

Keselamatan di Sekolah Pada Waktu Kebakaran

Pelan di bawah ialah pelan sebuah sekolah. Tulis sebuah karangan tentang keselamatan di sekolah pada waktu kebakaran. Panjang huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

RANGKA KARANGAN

Pendahuluan:
  • banyak kes kebakaran kerana cuai dan tiada langkah keselamatan
Isi:
  • sediakan pelan keselamatan
  • mengadakan latihan kebakaran
Penutup:
  • sekolah harus ambil berat soal keselamatan

CONTOH KARANGAN

Belakangan ini kita sering didedahkan dengan kes-kes kebakaran yang mengakibatkan kemalangan jiwa serta kerugian harta yang banyak. Malapetaka itu terjadi akibat kecuaian dan tiada langkah-langkah keselamtan yang jitu. Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak sekolah harus proaktif bagi mengelakkan kemalangan tersebut berlaku di sekolah.
     Langkah pertama yang harus diambil adalah dengan menyediakan pelan keselamatan sekolah. Pelan ini berfungsi sebagai panduan kepada pelajar-pelajar, guru-guru serta kaki-tangan untuk menyelamatkan diri mereka jika berlaku sesuatu yang tidak diingini. Pelan tersebut mestilah mudah difahami oleh semua yang melihatnya agar tidak timbul kekeliruan yang boleh mengancam nyawa serta harta.
     Seterusnya, latihan kebakaran wajib diadakan agar semua yang terlibat dapat mempraktikkannya dengan efektif. Latihan tersebut perlu diadakan dengan kerap bagi memastikan kelancaran pergerakan jika berlaku kecemasan. Pihak sekolah boleh menjemput pihak yang berkuasa seperti pihak bomba untuk memantau latihan tersebut.
     Tuntasnya, slogan cegah sebelum parah haruslah menjadi pegangan pihak sekolah bagi memastikan keselamatan mereka terjamin. Dalam perkara yang melibatkan nyawa, sikap acuh tak acuh perlu dibuang jauh-jauh agar kita tidak menyesal pada kemudian hari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan